Tuesday, June 30, 2009

3 golongan wajib berhenti merokok

Sempena Hari Tembakau Sedunia baru-baru ini, diharapkan lebih ramai orang akan berhenti merokok. Kotak rokok pun sudah ada gambar-gambar yang mengerikan, tetapi orang tetap juga hisap rokok seolah-olah tidak ada apa-apa kesan.Perangkaan Kementerian Kesihatan menunjukkan terdapat peningkatan perokok di kalangan remaja. Walaupun terdapat juga perangkaan menunjukkan terdapat sedikit penurunan yang tidak ketara terhadap trend perokok yang lebih dewasa. Kenapa perokok di kalangan remaja semakin meningkat? Menurut sesetengah pendapat, ini berlaku kerana terikut-ikut dengan orang tua, orang dewasa yang berhampiran dan rakan-rakan sebaya.

Pada pendapat saya, sepatutnya ada 3 golongan atau profession yang patut berhenti merokok atau tidak memulakan merokok.

Bukan nak kata yang lain tak perlu berhenti atau patut mulakan. Ini kerana 3 golongan ini adalah dianggap sebagai contoh masyarakat dan boleh menjadi ikutan kepada generasi muda.Ataupun dengan ayat yang lebih mudah, kita akan hilang hormat atau lebih mudah terpengaruh sekiranya mereka ini merokok. Maka wajar saya cadangkan di sini, 3 golongan ini sepatutnya berhenti merokok atau cuba berhenti mulai sekarang.

3 golongan yang patut berhenti merokok ialah :-

1. DOKTOR



Doktor selalu suruh orang berhenti merokok. Macamana nak hormat sekiranya, di hadapan pesakit dia suruh berhenti merokok, di belakang dia yang paling juara. Kenapa doktor merokok saya sendiri pun tidak tahu.

Jikalau anda fikir apabila seorang doktor merokok, alasan yang akan diberikan nampak lebih munasabah daripada bukan doktor, maka cuba anda tanyakan doktor tersebut. Kenapa doktor merokok? Jawapannya akan kabur juga, sekabur asap rokok.

Ini kerana, tidak ada satu pun jawapan dari segi fakta perubatan atau sains yang membenarkan seseorang menghisap rokok.

Ada seorang pengarah hospital daerah yang saya kenal dahulu begitu kuat merokok. Biasanya dia akan merokok selepas sarapan pagi di sebuah kantin "swasta" di luar hospital. Siapa yang bersamanya merokok? Tentulah kakitangan-kakitangan hospital.

Doktor mengetahui 1001 penyakit yang boleh disebabkan asap rokok. Kenapa perlu menyumbang kepada statistik ini.


2. USTAZ



Saya rasa kurang hormat kalau ada ustaz yang merokok. Dulu fatwa kata makruh, maka takperlah kalau merokok. Tapi sekarang fatwa dah sah terang haram, kenapa masih merokok.

Macamana orang ramai nak ikut fatwa kebangsaan yang banyak diletakkan di masjid-masjid sedangkan setelah habis ceramah, ustaz sendiri merokok dengan ajk masjid di masjid?

Malah Ustaz-ustaz yang sepatutnya membantu memberi nasihat dan menguatkan fatwa merokok itu haram kepada orang ramai. Bukannya mempertikaikan- kononnya tiada dalil dan nas yang Qat'ie lah dan tak Sorih lah, sedangkan majlis fatwa negara dah umumkan.

Mungkin najis rokok ini tidak setara dengan najis mughallazah seperti babi, tetapi ia seberat meminum racun secara perlahan-lahan. Kalau minum racun itu haram, kenapa merokok boleh jadi makruh, sedangkan kedua-duanya membunuh?


3. GURU



Kalau guru rokok berdiri, anak murid rokok berlari...

Itulah kaitannya seorang guru dengan anak muridnya. Seorang guru mempunyai beribu anak murid sepanjang profesion mengajarnya. Mustahil, tidak ada beberapa orang yang terpengaruh sekiranya guru tersebut merokok.

Guru adalah manusia yang kedua bertanggungjawab selepas ibu-bapa di dalam memberi pendidikan dan pelajaran kepada generasi muda negara. Tugas itu sebenarnya sangat penting walaupun ramai ibu-bapa yang memperlekehkan (kerana ibu-bapa dah tak tahu macamana nak kawal anak mereka, dan rasa bersalah tersebut dilepaskan kepada guru).

Oleh hal yang demikian, guru sepatutnya mempunyai rasa tanggungjawab untuk menjadi contoh utama untuk berhenti tabiat merokok. Tidak kira di dalam sekolah atau di luar sekolah, ataupun di rumah, para guru kadangkala diperhatikan. Di dalam sekolah mungkin tidak, tetapi anak murid mungkin melihat anda merokok di dalam kereta ketika pulang, ataupun terserempak dengan anda membeli belah.

Mungkin ada yang berkata kenapa 3 profesion ini sahaja yang disebut. Saya ulang di sini bahawa semua orang patut berhenti merokok. Tetapi 3 golongan ini adalah rapat dengan masyarakat.

Apatah lagi mereka merupakan idola kepada kaum remaja, golongan muda, maka ini menjadikan tanggungjawab untuk mendidik bertambah berat. Maka wajarlah mereka dahulu yang berhenti merokok.

Wallahu A'lam.

Link: http://drazwan.blogspot.com/

0 comments:

salam dari ana